Tarian-tarian Tradisional Malaysia


Tarian Makyung 
  Makyung ialah sebuah drama tari iaitu drama yang diselangi dengan tarian dan nyanyian. Penari-penari makyung terdiri daripada gadis-gadis. Mereka diketuai seorang ketua. Penari-penari ini duduk di sekeliling pentas ketika pakyung melakonkan cerita.
  Apabila sampai masa menari dan meyanyi, ketua dan penari-penari itu bangun menari dan menyanyi. Nyanyian dan tarian ini diiringi muzik yang dimainkan oleh sekumpulan orang lelaki. 
  Tarian dan nyanyian ini diselangi pula dengan lawak jenaka. Lawak jenaka ini dilakonkan oleh dua orang lelaki.  


Tarian  Kuda Kepang
   Penari-penari kuda kepang menggunakan patung kuda dan berlagak seperti menunggang kuda. Mereka menari dalam satu kumpulan. Setiap penari menunggang patung kuda. Tarian ini diiringi muzik.
  Kuda kepang berasal daripada tarian yang menggunakan kuda sebenar pada suatu masa dahulu. Pada masa itu, pendakwa hendak menyebarkan agama Islam. Kumpulan itu menari-nari sambil menunggang kuda untuk menarik perhatian penduduk kampung. Lama-kelamaan kuda yang sebenar ditukar kepada patung kuda yang dinamakan kuda kepang.

Tarian Joget 
  Joget ialah tarian Melayu yang paling popular pada suatu masa dahulu. Penari-penari tarian ini terdiri  daripada lelaki dan perempuan. Mereka menari berpasangan pada majlis perkahwinan. Kadang-kadang tarian joget ditarikan beramai-ramai di halaman rumah dan disebut joget lambak.

Tarian Sumazau
  Tarian Sumazau terkenal di Sabah. Tarian ini sangat menarik kerana penari-penarinya memakai pakaian tradisional Kadazan. Penari-penari wanita memakai pakaian daripada kain baldu berwarna hitam. Penari-penari  lelaki pula memakai seluar dan jaket hitam serta kain diikat pada kepala.
  Ketika  menari tangan mereka bergerak ke atas dan baewah seperti burung sedang terbang.
 Tarian Ngajat
  Tarian Ngajat adalah tarian kaum Iban, Kayun, Dayak Darat dan Bidayuh di Sarawak. Pada zaman dahulu, tarian ini ditarikan selepas kembali daripada berperang.
  Penari-penari Ngajat memmakai kain merah yang diikat dari pinggang hingga ke lulut. Mereka  juga memakai topi yang dihias dengan bulu burung. Penari-penari memegang perisai  pada tangan kiri dan pedang pada tangan kanan. Tarian ini diiringi muzik.

Tarian Singa
  Tarian Singa ditarikan pada Tahun Baru Cina atau perayaan-perayaan kaum Cina yang lain. Penari-penari tarian ini menggunakan pakaian yang berbentuk seekor singa. Dua orang pemuda akan menarikan tarian ini. Seorang di hadapan dan seorang lagi di belakang. Kaki-kaki mereka menjadi kaki-kaki Singa.
  Ketika menari Singa melompat dan berguling di atas lantai. Kadang-kadang Singa melompat ke atas bangku yang tinggi atau tiang-tiang yang dibuat khas. Gerak tarian ini bergantung kepada rentak muzik yang dibunyikan. Alat-alat muzik yang digunakan ialah gendang dan simbal serta gong.

Tarian Bhangra
  Tarian ini ditarikan oleh orang Sikh atau Punjabi pada masa musim menuai. Tarian ini menunjukkan rasa gembira kerana hasil ladang mereka telah menjadi. Selain itu, mereka bersyukur kepada Tuhan kerana memberi hasil yang lumayan. Pada hari ini, tarian ini ditarikan pada hari-hari perayaan yang tidak lagi ada hubungan dengan hasil tani.